Akad
AKAD
Akad dari sudut penggunaan bahasa
Arab mempunyai makna yang pelbagai antaranya, janji, jaminan, kepercayaan dan
ikatan (sama ada ikatan sebenar seperti mengikat tali atau ikatan simbolik
seperti ikatan ijab dan qabul dalam akad jual-beli). Manakala Kamus Dewan pula
memberikan pengertian akad sebagai janji dan perjanjian. Perkataan akad
merupakan perkataan yang sinonim dengan perkataan kontrak.
Akad dari istilah fiqh ialah ikatan
di antara ijab dan qabul yang dibuat mengikut cara yang disyariatkan yang sabit
kesannya pada barang berkenaan. Dengan perkataan lain akad melibatkan
pergantungan cakapan salah satu pihak yang berakad dengan cakapan pihak yang
satu lagi, mengikut ketentuan syarak yang akan melahirkan kesan pada barang
yang diakadkan. (al-Zuhaily,Wahbah, 2002, Fiqh & perundangan Islam,
pent. Md. Akhir Haji Yaacob, Dewan Bahasa dan Pustaka, jld.4, hlm.83). Dari
aspek undang-undang pula, kontrak didefinisikan sebagai semua perjanjian adalah
kontrak jika dibuat atas kerelaan bebas pihak-pihak yang layak membuat kontrak,
untuk sesuatu balasan yang sah, dan dengan sesuatu tujuan yang sah (Akta
Kontrak, seksyen 10 (1)).
Akad terbahagi kepada beberapa
bahagian mengikut perbezaan sudut pandangan. Antaranya ialah pembahagian akad
mengikut sifatnya dari aspek syarak, dan dari aspek ada atau tidak ada kesannya
kepada akad yang dimenterai.
1. Pembahagian akad mengikut sifatnya
dari aspek syarak, terbahagi kepada beberapa jenis iaitu sahih (صحيح) , batil (باطل), nafiz (نافذ), mauquf (موقوف), lazim (لازم) dan ja’iz (جائز).
Akad sahih ialah kontrak yang sempurna semua rukun
dan syarat yang ditetapkan syarak dan tidak ada sebarang unsur dan sifat
meragukan yang boleh mengeluarkannya dari dikira sah dari segi pensyariatannya.
Hukum kontrak ini ialah sah dan sabit kesannya serta-merta sebaik sahaja
selesai ijab dan qabul jika tidak ada khiyar dalam jual beli.
Akad batil ialah kontrak yang tidak sempurna (cacat) syarat
dan rukunnya. Hukum kontrak seperti ini ialah tidak sah dan tidak melahirkan
sebarang kesan sedikit pun.
Akad nafiz ialah kontrak yang terbit dari seseorang
yang mempunyai kelayakan dan kuasa untuk melakukannya. Hukumnya ialah kontrak
seperti ini menerbitkan kesan segera sebaik sahaja ia dibuat, tanpa tertakluk
kepada kelulusan dan keizinan seseorang.
Akad mauquf ialah kontrak yang terbit dari seseorang
yang mempunyai kelayakan untuk berkontrak, tetapi dia tidak mempunyai kuasa
untuk melakukannya seperti kontrak yang dilakukan oleh kanak-kanak yang
mumaiyiz bagi kontrak yang ada risiko untung dan rugi. Hukumnya ialah kontrak
ini tidak boleh melahirkan sebarang kesan melainkan setelah mendapat kelulusan
dan persetujuan oleh pemilik hak yang berkuasa melakukannya. Jika pemilik hak
tidak mempersetujui atau meluluskannya maka kontrak itu menjadi batal.
Akad lazim ialah kontrak yang tidak membolehkan salah
satu pihak yang memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang
lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli.
Akad jaiz ialah kontrak yang membolehkan salah satu
pihak yang berkontrak membatalkannya tanpa sebarang persetujuan pihak yang lagi
satu seperti kontrak wakalah.
2. Pembahagian akad dari aspek ada atau
tidak ada kesannya terhadap akad yang dibuat pula terbahagi kepada munjiz
(منجز), muallaq (معلق) dan mustaqbali (مستقبلى).
Akad munjiz ialah kontrak yang dibuat dengan lafaz
yang tidak digantungkan dengan sebatang syarat dan tidak disandarkan
pelaksanaannya pada masa hadapan. Kontrak seumpama ini menerbitkan kesan segera
ke atas kontrak sebaik sahaja ia dibentuk.
Akad muallaq ialah kontrak yang dikaitkan
kewujudannya dengan wujudnya sesuatu yang lain. Sekiranya wujud perkara
tersebut maka wujudlah kontrak, jika sebaliknya maka tidak berlakulah kontrak.
Sebagai contoh si polan A berkata kepada si polan B, “jika aku jadi keluar negara
maka engkaulah menjadi wakil ku”. Kontrak seumpama ini tidak akan terbentuk
melainkan adanya syarat yang dikaitkan itu.
Akad mustaqbali ialah kontrak yang dibuat dengan
lafaz penerimaan disandarkan pada masa yang akan datang. Hukum kontrak ini ia
akan berlaku atau terbentuk segera, tetapi kesannya tidak ada kecuali pada
waktu yang ditetapkan itu, iaitu waktu yang disandarkan berlaku.
(al-Zuhaily,Wahbah, Fiqh & perundangan Islam, jld.4, hlm.235-248 dan
al-Banhawi, Mohd Abdul Fatah, 1999, Fiqh al-Muamalat Dirasah Muqaranah,
Jamiah al-Azhar, Tanta, hlm.11-14.)
Akad jual beli dan jenis-jenisnya
Perkataan al-bai’ (jual beli) dari aspek bahasa
bermaksud menukar suatu barang dengan suatu barang yang lain. Dari sudut
istilah syarak pula, al-bai’ mempunyai banyak pengertian yang diberikan para
ulama. Menurut Mazhab Hanafi, jual beli ialah pertukaran suatu harta dengan
suatu harta yang lain mengikut cara yang tertentu. Atau menukar sesuatu yang
disukai dengan sesuatu yang lain yang juga disukai dengan dengan cara tertentu
yang berfaedah iaitu dengan tawaran atau unjuk-mengunjuk. Menurut mazhab
Syafie, jual beli ialah pertukaran sesuatu harta benda dengan harta benda yang
lain, yang keduanya boleh ditasharrufkan (dikendalikan), dengan ijab dan
qabul menurut cara yang diizinkan oleh syarak (al-Husaini, Abi Bakr ibn
Muhammad, 2005, Kifayatul akhyar fi halli ghayat al-ikhtisar, Dar
al-Salam, al-Qahirah, Misr, hlm.305). Al-Bai’ juga adalah kontrak pertukaran
harta benda yang memberikan seseorang hak memiliki sesuatu benda atau manfaat
untuk selama-lamanya, bukan dengan tujuan al-qurbah (mendampingi diri
kepada Allah) (Mughni al-muhtaj, jld.3, hlm.2).
Pensyariatan jual beli ini telah sabit dengan nas al-Quran,
hadis dan juga ijmak. Terdapat lebih daripada sepuluh jenis akad jual beli
dalam Islam yang boleh berlaku dalam bentuk dan gambaran yang berbeza. Antara
jenis-jenis akad jual beli tersebut ialah:
Bai’ al-sil’ah bi al-naqd (بيع السلعة بالنقد): iaitu jual beli sesuatu barang
dengan mata wang. Jenis ini adalah yang paling meluas berlaku dikalangan
manusia. Contonya ialah membeli sehelai baju dengan Ringgit Malaysia atau US
Dollar dan seumpamanya.
Bai’ al-muqayadhah (بيع المقايضة): iaitu jual beli sesuatu barang
dengan barang, seperti menjual baju dengan beg atau menjual binatang ternakan
dengan beras dan sebagainya.
Bai’ al-salam (بيع السلم): ialah jual beli sesuatu barangan
secara tangguh dengan bayaran harga secara tunai, seperti menjual barangan yang
telah disifatkan butiran bentuk, spesifikasi, kualiti dan kuantiti secara
terperinci dengan bayaran harganya dibuat secara tunai, manakala penyerahan
barang ditangguhkan pada suatu masa yang ditetapkan.
Bai’ al-sharf (بيع الصرف): iaitu jual beli mata wang dengan
mata wang yang sama atau berbeza jenis, seperti menjual emas dengan emas, perak
dengan perak atau emas dengan perak, ringgit Malaysia dengan rial Saudi dan
sebagainya.
Bai’ al-murabahah (بيع المرابحة): iaitu jual beli sesuatu barangan
pada harga kos bersama tambahan margin keuntungan, seperti menjual sesuatu
barangan berharga RM100 dengan harga kos dan ditambah pula margin keuntungan
sebanyak RM10 yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Bai’ al-wadhiah (بيع الوضيعة): ia adalah lawan kepada jual beli
secara murabahah, iaitu jaul-beli yang dibuat atas sesuatu barangan dengan
harga yang lebih murah dari harga kos, seperti harga barangan adalah RM10 dan
dijual dengan harga RM9 atau lebih rendah.
Bai’ al-tauliah (بيع التولية): ialah jual beli sesuatu barangan
dengan harga kos tanpa ada lebih mahupun kurang dari harganya. Seperti barangan
berharga RM100 dijual dengan RM100.
Bai’ al-urbun (بيع العربون): iaitu satu bentuk jual beli
dimana pembeli membayar sejumlah wang pendahuluan. Sekiranya jual beli
diteruskan maka wang pendahuluan ini akan menjadi sebahagian daripada harga barangan.
Jika tidak, maka wang yang ini tidak akan dikembalikan kepadanya.
Bai’ al-talji’ah (بيع التلجئة): ialah suatu bentuk jual beli yang
dibuat oleh penjual yang dalam kesempitan (terpaksa) kerana kuatir dan takut
hartanya diambil oleh orang lain. Bagi menyelamatkan hartanya, ia bersepakat
dengan seseoarang bagi menzahirkan akad jual beli dan menyembunyikan tujuannya
yang sebenar. Seperti menjual rumah untuk mengelak dari dilelong oleh bank atau
permiutang.
Bai’ al-wafa’ (بيع الوفاء): iaitu jual beli barangan dengan
syarat apabila penjual membayar semula harga barangan yang dijual maka pembeli
akan mengembalikan semula barangan yang dijual kepada penjual.
Bai’ al-istishna’ (بيع الاستصناع): iaitu jual beli dalam bentuk
tempahan perbuatan barang tertentu dengan spesifikasi yang tertentu yang
menghendaki penjual, pemaju, pengilan atau orang lain §membuatkan
barangan yang ditempah tersebut untuk pembeli.
Bai’ al-inah (بيع العينة): iaitu jual beli yang berlaku
antara penjual dan pembeli, di mana penjual menjual asetnya kepada pembeli
dengan harga tangguh lebih tinggi, kemudian penjual membeli semula aset
tersebut daripada pembeli dengan harga tunai yang lebih rendah. Keadaan
sebaliknya boleh berlaku.
Kesimpulannya, berbagai bentuk dan jenis-jenis akad,
khususnya akad jual beli menunjukkan keunikan sistem muamalat dalam Islam.
Kepelbagaian bentuk dan jenis ini tidak lain adalah untuk memenuhi hajat dan
maslahah yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan didunia ini. Semoga tulisan
ini memberikan manfaat dan panduan kepada kita ke arah memahami akad dan
kontrak dalam syariat Islam.
0 komentar: